Wednesday, June 18, 2014

Bersediakah Kita Dengan Pelaksanaan GST

Menjelang 01 April 2015, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan atau Goods And Services Taxes (GST) bemula. GST telah mula diwawarkan ketika era pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005 bagi menggantikan mekanisme cukai sedia ada. Di sesetengah buah negara GST turut dikenali sebagai Added Value Taxes (AVT) seperti Singapura dengan kadar tujuh peratus. Kadar GST negara telah ditetapkan sebanyak enam peratus.

Cukai jualan (5%) dan cukai perkhidmatan (10%) akan dimansuhkan selaras dengan pelaksanaan GST. Pihak kerajaan menjelaskan bahawa pelaksanaan GST menjadikan sistem cukai negara lebih progresif dan dinamik.


Ketua Setiausaha Kementerian kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan GST akan memberi sedikit kenaikan harga barangan serta peningkatan inflasi dan akan reda dalam tempoh kurang setahun (sumber:http://www.astroawani.com/news/show/harga-barang-inflasi-meningkat-selepas-gst-ketua-setiausaha-kementerian-kewangan-37909).

Menurut RHB Research, inflasi dijangka meningkat antara 3.5 peratus dan 4.0 peratus pada tahun 2015 yang tertinggi sejak 2008 apabila GST dengan kadar 6 peratus dillaksanakan nanti. pada tahun ini kos perniagaan lebih tinggi dengan pelaksanaan sepenuhnya gaji minima daan purata peningkatan 20 peratus harga gas asli bagi sektor bukan tenaga menyebabkan harga pengguna lebih tinggi. keadaan ini diburukkan lagi dengan caj perubatan selain kenaikan harga pada masa akan datang sementara menunggu lampu hijau daripada pihak kerajaan termasuk tambang pengangkutan awam.

Menurut Datuk A Kadir Jasin dalam blog beliau menyatakan bahawa hutang kerajaan persekutuan meningkat dengan mendadak sejak Datuk Seri Najib mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada april 2009 iaitu daripada 41.24 peratus KDNK kepada 52.8 peratus pada tahun 2010 dan dijangka meningkat kepada 54.8 peratus KDNK bagi tahun 2014 (sumber:http://kadirjasin.blogspot.com/2014/06/rombak-kabinet-pm-gugur-najib.html).

Berdasarkan kepada statistik, hanya 1 juta daripada 4 juta  (12 juta tenaga buruh negara) yang mempunyai fail di lembaga hasil dalam negeri (LHDN) yang diklasifikasi sebagai pembayar cukai. Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah menyatakan KWSP pernah melaporkan sekitar 78 peratus daripada pencarum mempunyai gaji kurang dari RM3,000 sebulan. 

Nurul Izzah juga mengulas bahawa Malaysia tidak mempunyai pembayar cukai yang cukup untuk menampung perbelanjaan dan hutang Kerajaan Persekutuan yang semakin bertambah. Justeru, cara mudah bagi kerajaan menyelesaikan masalah ini adalah dengan mengutip cukai secara borong - hinggakan warga miskin berpendapatan rendah pun tidak terkecuali - Inilah dipanggil cukai regresif, GST (sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/jangan-risau-gst-kan-ada-1.291003).

Situasi yang tidak menentu selain timbul cakap-cakap tentang kesan GST terhadap pengguna dan tentu sekali isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah akan lebih terasa. Apa pun kesan kenaikan indeks pengguna bukan dilihat pada faktor GST semata tetapi ia mungkin disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan alasan GST untuk mengenakan harga barangan yang lebih tinggi selain faktor bercampur-campur trend semasa ekonomi.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan beban hutang negara yang bertambah mungkin timbul persepsi kegagalan kerajaan dalam mengawal perbelanjaan menjadi faktor utama kepada pengenalan GST. Orang ramai kadang kala terkeliru antara pro dan kontra GST dan kesannya hanya boleh dirasai apabila GST dilaksana sepenuhnya nanti. 

Walau apa sekalipun kita sebagai pengguna perlulah lebih berhati-hati dalam merencana perbelanjaan supaya dapat menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin timbul. Keadaan itu juga menyebabkan orang ramai mula mengurangkan perbelanjaan bagi melihat sendiri kesan GST yang akan dilaksankan pada april depan.

AEON Jusco juga menyatakan bahawa berlaku kemungkinan berlakunya penurunan kuasa beli pengguna ketika pelaksanan GST akibat kesan sebahagian daripada kenaikan harga barangan. Walau bagaimanapun mereka menjangkakan kesannya mungkin tidak lama selain sambutan Aidilfitri jatuh pada pertengahan Julai 2015. Kesan sebenar terhadap kuasa beli pengguna mungkin dapat dilihat setelah 2-3 bulan penguatkuasaan GST.

Oleh itu, kita sebagai pengguna perlu tunggu dan lihat apakah kesan yang mungkin timbul serta baik buruknya apabila ia dilaksanakan nanti. Dalam masa yang sama kita perlu berusaha untuk mengawal perbelanjaan isi rumah. Langkah Bank Negara menstruktur semula hutang isi rumah dengan menggubal syarat baru berkaitan pembiayaan dilihat dapat mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar dan menjadikan penyedia perkhidmatan pinjaman lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan pembiayaan.


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India